Patung


"Ibu, boleh tak kalau Ira nak patung tu?" Tanya si kecil, Ira kepada ibunya. Seboleh-boleh Ira memosenkan mukanya supaya ibunya membelikan patung tersebut.

"Patung tu kan budak tu dah ambil." Kata ibu Ira. Ira toleh dan melihat kepada patung yang dimintanya sebentar tadi. Sedih. Cuba mengambil patung yang lain. Ira cuba bermain dengan patung yang lain. Tak sama. Ira masih inginkan patung yang mula-mula dia inginkan. Dia memandang ke arah patung tadi.  Kelihatan susuk tubuh yang kecil seperti sedang bermain dengan patung itu.

"Tapi Ira tetap nak yang itu, Ibu. Bolehlah?" Memandang ke arah ibunya lagi.

"Hmmmm." Ibu Ira mengeluh. Tidak tahu apa yang boleh dia lakukan untuk yakinkan. Ibu Ira menarik tangan kecil Ira ke arah kedai lain. Ira merajuk dengan ibunya. Senyap. Ibu Ira juga membiarkan anak kecil begitu. Lebih baik begitu daripada meronta-ronta tak tentu hala.

"Jom la kita cari tempat lain. Nak?" Ajak Ibu Ira. Mata Ibu Ira memandang ke arah patung yang diminta oleh ir tadi. Dengan harapan patung itu diletak kembali. Memang nasib Ira baik hari itu kerana patung itu diletak kembali.

Ibu Ira dengan tangkas berjalan ke arah patung itu. Ambil dan bayar di kaunter. Ira ketika itu tersenyum keriangan melihat perlakuan ibunya. Suka barangkali kerana akan mendapat patung yang diminta tadi.

_____________________________________________________________________________________

Di rumah selepas beberapa tika. Dan beberapa hari berlalu juga.

Kelihatan Ira seronok bermain dengan patung yang dibeli oleh ibunya tadi. Patung itu diberi layanan kelas pertama oleh Ira. Diberi makan, digosok pakaiannya, bermain masak-masak bersama.

Patung-patung Ira yang lain tidak lagi diendahkan. Tangan ira sentiasa memegang patung yang baru itu. Kemana-mana. Makan bersama, mandi bersama, tidur bersama, keluar bersama. Pendek kata seperti orang yang baru berkahwin. Kentut pun wangi lagi.
Walaupun hakikatnya ianya cuma hubungan antara si kecil, Ira dan patungnya.

Ibu Ira melihat sahaja gelagat anaknya bermain dengan patung dibeli itu. Seronok. Ibu mana tak seronok apabila pemberian dihargai sebegitu. Tidak sia-sia Ibu Ira berlari mendapatkan patung itu.

"Suka benar anak awak tu main dengan patung dia ya." Lamunan Ibu Ira terhenti. Ayah Ira baru balik dari pejabatnya. Lama memerhatikan gelagat anaknya dan ibu kepada anaknya.

"Yela bang, puas hati saya dapat belikan untuk dia hari tu." Ibu Ira terkenang gelagat anaknya dia kedai tempohari.

"Bagusla camni kan. Nak beli apa-apa pun tak kisah. Pandai dia hargai barang dia." Balas Ayah Ira. Kemudian hilang, ke bilik air agaknya.

_____________________________________________________________________________________

Beberapa bulan kemudian. Di sebuah kampung. Ketika musim raya.

"Eh Ira. Comella patung awak tu. Saya nak main boleh?" Tanya sepupu Ira. Ira berhenti bermain. Memandang ke arah sepupunya yang tinggal di kampung itu.

"Tak boleh." Ira jawab ringkas. Tidak cukup dengan itu, Ira juga menjelirkan lidahnya ke arah sepupunya itu.

"Ala, kedekut la awak ni. Mehla, kita pun nak main jugak!" Pinta sepupunya lagi. Kali ini lebih agresif. Tangannya cuba mengambil patung itu daripada tangan Ira yang leka bermain.

Ira melawan. Sepupu Ira masih mencuba. Ira memegang bahagian badan patung itu, manakala sepupu Ira merampas dengan memegang bahagian tangan patung tersebut. Kedua-dua tidak mahu mengalah. Ira mempertahan patungnya, sepupu Ira pula dalam cubaan merampas.

Tiba-tiba bahagian tangan patung itu tercabut. Kedua-dua, Ira dan sepupunya tergamam seketika. Air mata mengalir di pipi Ira.

"Hah, tu la. Kita nak main, awak taknak bagi." Kata sepupu Ira. Seperti mencurahkan minyak tanah ke api yang sedang menyala. Api membara.

"Padan muka awak!" Sambung sepupu Ira lagi. Ira menangis dengan kuat setelah mendengar kata-kata sepupunya. Sepupu Ira melarikan diri. Takut barangkali kerana kelihatan Ibu Ira menghampiri mereka berdua.

"La, kenapa ni sayang?" Tanya Ibu Ira ketika menghampiri Ira. Ira masih menangis. Kuat seperti tadi. Ibu Ira cuba memujuk Ira tetapi gagal.  Masih menangis.

"Abang, cuba awak pulak yang pujuk. Saya tak tahu la nak pujuk camne lagi anak awak ni" panggil Ibu Ira kepada Ayah Ira yang sedang membaca suratkhabar dari tadi. Bukan tidak nampak anaknya menangis tetapi lumrah bagi seorang lelaki, membiarkan selagi tidak dipanggil.

"Ira sayang. Kenapa nangis-nangis ni?" Pujuk Ayah Ira. Sama. Masih menangis.

"Jangan nangis sayang. Cuba bagitau kat ayah." Masih memujuk.

"Kalau Ira tak bagitau kat ayah dengan ibu, camne ayah nak tolong kan?"

"Takpun kan, ayah belanja aiskrim nak tak?" Tangisan Ira berkurangan. Memberi beberapa anggukan tanda setuju. Ayah Ira tersenyum dan melihat Ibu Ira. Bangga barangkali.

"Tapi..tapi..tapi..patung Ira." Ira cuba bercakap tentang patungnya ketika masih dalam tangisan.

"Apa yang Ira cakap ni? Ayah tak paham la. Cuba Ira berhenti menangis dulu. Lagipun Ayah tengok buruk sangat bila nangis ni. Takmau nangis-nangis dah." Kata ayah Ira. Ira memgesat air matanya.

"Patung Ira rosak la ayah. Tu!" Jawab Ira dan menunjukkan jarinya ke arah patungnya yang tersadai di tepi dinding berdekatan mereka. Bahagian tangan terputus terlindung. Mungkin itu la kenapa ayah dan ibu Ira tidak tahu punca anak mereka menangis sebentar tadi.

"La, sebab itu je Ira nangis dari tadi?" Ayah Ira tanya. Ira menganggukkan kepalannya.

"Ish, Ira ni. Bagitau awal-awal kan senang. Ni ayah dah kena belanja Ira aiskrim dulu. Ira. Ira."

"Ayah, Ira nak patung baru boleh?" Tanya Ira.

"Hmm, yelah. Jom kita pi cari kat bandar."

"Aiskrim sekali tau ayah." Sambung Ira.

"Ye, ayah tak lupa. Jom." Mereka berdua menaiki kereta dan bergerak ke arah bandar untuk mencari patung baru dan aiskrim untuk Ira.

Sejak itu, tiada siapa pun tahu apa yang terjadi kepada patung Ira yang telah terputus tangan tadi. Ira sendiri telah melupai patung itu walaupun Ira sangat menyayangi patung itu selama ini. Mungkin patung yang baru itu lebih menarik?

_____________________________________________________________________________________

Kelihatan seorang budak kecik sedang bergembira bersama sebuah patung yang tidak mempunyai sebelah tangan.

Tamat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...