Bukan salahku

Sumbangan: https://twitter.com/aisyahlah


"Bukan salahku, Min!", mulutku bicara. Memang bukan salahku. Bukan salah hati kecilku  yang mula melahirkan perasaan sayang kepada Amin.

"Tapi kita kan kawan lama, Jun", sahut Amin.

Amin dan Jun telah lama bersahabat, semenjak dari sekolah rendah lagi. Semenjak dari saat pertukaran ucapan kata pengenalan diantara satu sama lain, mereka tidak pernah jemu untuk  bersahabat. Banyak yang dibualkan dan dibicara oleh mereka berdua mengenai perihal kehidupan. Dari perihal agama, keluarga, persahabatan, pelajaran mahupun perihal cinta. Perpisahan sewaktu Amin mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dahulu pun tidak mampu merenggangkan persahabatan mereka. Ada sahaja cara untuk mereka saling berhubung dan berutusan diantara satu sama lain. Dari kiriman pesanan ringkas sms, sehinggalah coretan menerusi mail elektronik. Namun, tidak pernah sedikitpun terdetik di dasar hati Amin sebelum ini yang Jun menyayanginya lebih daripada sebagai seorang sahabat, sehingga Jun mengungkapkanya pada hari ini.

"Betul aku sayangkan kau, aku tak dapat nak lawan perasaan ni, Min", rintihan suaraku.

Aku pernah punyai ramai teman lelaki, tapi tidak seorang pun yang boleh memahamiku sebagaimana Amin. Malahan, aku berpisah dengan bekas teman lelaki aku adalah kerana Amin. Bekas teman lelakiku juga memberitahu aku agar mengakui perasaanku terhadap amin dan meluahkan perasaan hati aku kepadanya. Katanya kejernihan pandangan mataku lebih bersinar dan sempurna apabila ditujukan kepada Amin, namun hanyalah kekaburan ketidak pastian yang kosong apabila ditujukan kepadanya. Bekas teman lelaki aku mengatakan, jika aku tidak menyuarakan perasaan aku kepada Amin, sampai bila-bila pun aku tak dapat mencintai orang lain.

"Tapi kau kan baru je lepas putus cinta, ini semua mainan perasaan kau je", Amin cuba menyangkal perasaan Jun terhadapnya.

Amin merasakan apa yang Jun luahkan kepadanya hanyalah gurauan semata-mata. Tidak mungkin apa yang Jun rasakan ini adalah perasaan cinta. Baginya Jun baru sahaja berpisah dengan bekas teman lelakinya. Jun memberitahunya bahawa mereka sudah tidak serasi lagi. Jun menerangkan kepada Amin bahawa bekas teman lelakinya itu bukanlah seperti yang dia sangkakan. Lelaki itu meninggalkannya kerana merasakan tidak yakin yang perhubungan mereka boleh bertahan sehingga ke akhir hayat walaupun sekiranya mereka akan berkahwin pada suatu masa nanti.

"Aku ikhlas menyayangi kau, lebih dari kawan, Min", akhirnya aku luahkan. Sejak kami mula berkawan, Amin bukan hanya sebagai seorang rakan, tapi sebagai seorang teman. Tidak pernah jemu melayan kerenah aku. Perangai panas baran aku, tangisan kesedihanku, kegembiraan aku, semuanya dikongsi dengan Min. Tidak pernah sesekali dia membelakangi aku walau dalam apa jua perkara. Kata-katanya dia tidak pernah menjatuhkan ku malahan sentiasa memberi semangat baru untuk aku meneruskan perjuangan hidup. Lebih manis lagi apabila dia sentiasa mengingatkan aku dengan kehadiran yang Ilahi. Jika tak diucapkan sekarang, mungkin sampai bila-bila perasaanku, rasa cintaku kepada Amin terbuku begitu sahaja.

Hari ini merupakan hari terakhir Amin berada di tanah air. Amin berjaya melanjutkan pelajaranya ke Sheffield Hallam University, South Yorkshire S1 1WB, United Kingdom. Bagi menzahirkan rasa kesyukuran kepada ilahi, puan Zaharah, ibu Amin, mengadakan kenduri kesyukuran di kediamanya di Damansara Perdana. Puan Zaharah turut menjemputku sekeluarga bagi turut sama menyertai majlis kenduri kesyukuran ini. Hubungan keluargaku dengan keluarga Amin sudah seperti adik beradik. Kedua ibu bapaku dengan kedua ibu bapa Amin sudah mesra semenjak kami berdua di bangku sekolah rendah lagi. Ini berikutan sebelum keluarga Amin berpindah ke Damansara Perdana, mereka adalah jiran tetangga aku di Bukit Pantai sewaktu dulu. Aku juga tidak lepaskan peluang ini untuk berjumpa dengan Amin buat kali terakhirnya dalam masa yang sama menzahirkan perasaanku kepadanya.   

“Maaf Jun, aku tidak boleh memberi sebarang kata putus sekarang.” – kata Amin. Jun tersentak, luruh hatinya mendengar jawapan dari Amin. Sepertinya Amin tidak langsung menghargai ketulusan hatinya meluahkan perasaan kepadanya.

“Kau tahu kan ibu bapa aku mengharapkan anak sulung mereka ini berjaya menjadi seorang jurutera automotif. Aku harus menumpukan terhadap pelajaran terlebih dahulu sebelum memikirkan perihal ini” - terang Amin kepada Jun. Jun diam seribu bahasa. Cukuplah sudah cinta hatinya tidak berbalas. Jangan pula ditambahkan lagi dengan seribu satu alasan bagi menyedapkan hatinya.

Luluh hati Jun tidak mendapat sebarang jawapan positif dari Amin. Namun dia percayakan nalurinya yang Amin juga menaruh perasaan terhadapnya. Cuma tidak diluahkan.

“Jun, aku janji setelah aku selesai pengajianku di sana nanti, aku akan pulang memberikan kata putus kepada kau”- pujuk Amin melihatkan Jun yang tiba-tiba menjadi diam seribu bahasa dengan jawapanya sebentar tadi.

“Sebenarnya aku mahu juga menjadi pembuka kepada kunci pintu hati kau yang terluka.” – ungkap Amin.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...