Kisah Cinta #1

Masa aku kecil, umur 5-6 tahun mama dan abah aku hantar aku tinggal di nursery berhampiran rumah aku. Banyak kenangan manis aku kat sana. Antara yang aku masih ingat ialah cinta hati aku yang pertama. Amboi, bukan main kan? Kecik-kecik lagi dah bercinta hati. Kononnya la kan.

Masa mula-mula aku dihantar ke nursery tu, aku dengan adik aku. Beza umur kitorang setahun je. Jadi aku bertemankan adik aku jela ke sana sini. Agak bosan jugakla. Kalau hari-hari aku hadap muka dia je. Dahla dari kecik lagi orang duk buat konon-konon kitorang ni macam kembar. Padahal bukan.

Nak dijadikan cerita, satu hari tu aku buat perangai. Taknak pergi nursery. Nangis-nangis. Last-last kena paksa pergi nursery tu jugak. Kalau tak hanger hinggap ke belakang badan aku. Sakit woi, serius aku tak tipu.

Bila dah sampai nursery tu, aku saja la buat perangai lagi. Taknak makan. Aku tidur je. Konon-konon merajuk la. Jiwa memberontak dari kecik lagi aku ni rupanya. Tak semena-mena datang seorang budak perempuan menghampiri aku. Comelnya dia ni bisik hati aku.

"Kenapa awak camni?" Kata budak perempuan tu kepada aku. Aku tak layan. Mata aku dialihkan ke arah lain.

"Awak ni macam perempuan la." Okay, ini dah agak kurang ajar bisik hati aku.

"Biarlah. Awak sibuk buat apa." Jawab aku kasar.

"Ala, kita boringla. Jom la main dengan kita." Biasalah budak-budak. Tertukar perkataan saya dengan kita.

"Saya taknak la main dengan awak." Jawab aku kasar lagi dan penuh berilmu tanpa menggunakan kata ganti nama yang salah.

"Kita main kawin-kawin nak tak?" Aku pandang dia.

"Budak kecik mana boleh kawin la mama saya kata." Jawab aku.

"Sebab tu kita kata kita main. Bukan kawin betul-betul la awak."

"Nama kita Alya. Nama awak apa?" Budak perempuan tu memperkenalkan diri. Terkebil-kebil aku melihat budak perempuan tu. Lagaknya bersungguh-sungguh ingin mengajak aku bermain. Dengan mata bulatnya yang memandang tepat ke arah muka aku. Kadang-kadang terkelip tanpa dia sedari. Comelnya kau ni bisik hati aku lagi.

"Hmm, yela-yela." Aku tergoda. Aku bangun dari tempat aku baring tadi. Mengikut Alya. Entah apa yang dia nak buat pun aku tak tahu. Aku hanya mengikut.

"Nama awak apa?" Tanya Alya lagi. Terlupa pula aku nak beritahu nama aku kepada dia.

"Nama saya Joe." Aku tipu. Saja aku bagi nama dalam satu rancangan kat tv iaitu Joe Jambul. Aku suka Joe Jambul. Dia hensem. Aku nak jadi hensem macam dia jugak.

"Tipula. Ntah apa-apa la nama awak tu. Macam orang tua je." Kata Alya sambil gelak mengetawakan nama yang aku beritahu kepadanya. Aku mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa kepada Alya. Saja.

"Awak. Bagitau la betul-betul nama awak apa?!" Gayanya seperti marah sedikit. Tetap comel bisik hati aku.

Aku tersenyum nipis. Nampak tak perangai aku masa kecik macam mana? Mengada-ngada. Orang tanya tu patut aku jawab jela elok-elok. Alya mencebik mata dia. Mungkin menyampah dengan perangai aku.

"Awak nak main apa ni?" Tanya aku. Membiarkan pertanyaan Alya tadi. Aku lihat dia. Dia lihat aku.

"Ishh, awak ni. Kan kita dah kata. Kita main kawin-kawin." Yela, baru aku teringat. Cuma takkan nak main berdua je dengan dia. Boring gila.

"Tapi, takkan nak main kita dua je?"

"Taklah, kita main dengan kawan-kawan kita sekali nak?" Sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah sekumpulan budak perempuan yang bermain di laman nursery. Di laman nursery tu ada mini taman permainan. Kat situlah sekumpulan budak perempuan kawan si Alya ni bermain.

"Ala, saya malu la awak." Jawab aku. Memang sejak kecik lagi aku jenis malu sikit. Lagi-lagi dengan budak perempuan. Ramai pulak tu. Bukan apa, aku kan hensem sejak kecik lagi. Mau tak malu, kang semua nak berebut main dengan aku. Susah.

"Ish awak ni. Malu apanye. Dengan kita awak tak malu pun?" Kata Alya. Memangla, dah kau tu seorang je bisik hati aku lagi.

"Jomlah." Alya tarik tangan aku. Aku ikut walaupun melangkah dengan terpaksa. Usai sampai depan kawan-kawan Alya. Mereka pandang ke arah aku. Buat muka pelik. Mungkin sebab ini pertama kali aku ke arah mereka. Selama ni pun aku dengan adik aku je. Adik aku pun entah kat mana, aku pun tak tahu. Mungkin bermain di tingkat atas nursery bersama budak-budak yang lain.

"Haa, dia ni jadi suami kita." Kata Alya kepada budak-budak lain. Aku tercengang. Aku tak kenal diorang.

"Cepat-cepat. Awak duk sini, awak pulak duk sini ye." Kata salah seorang daripada budak-budak tu sambil menunjukkan ke arah dua kerusi. Alya duduk di salah satu kerusi dan mengarahkan aku duduk di sebelah dia. Aku duduk. Tunduk ke bawah, tanda malu.

Kelepok, kelepok, kelepang, kelepang!!!!!

Bunyi yang dibuat oleh budak-budak lain. Konon-kononnya mengikut bunyi kompang yang kebiasaannya ada di kenduri perkahwinan. Beberapa kali budak-budak itu mengulang perkara yang sama. Aku malu. Aku pandang ke arah Alya. Senyum lebar. Tak malu ke dia ni bisik hati aku lagi yang entah kali ke berapa.

"Okay, sekarang awak dua dah jadi suami isteri." Jerit salah seorang dari budak-budak tu.

"Yeeayyyyy!!!" Jerit budak-budak itu pula.

"ALYAA! ooo Alya! Mana kamu ni?" Terdengar suara Kak Ton, pengasuh kami di nursery tersebut.

"Haa, ini pun kamu. Ni haa mak kamu dah mari. Jom."  Alya terus mengikut Kak Ton. Aku tengok sahaja Alya pergi. Dalam hati aku kata hari esok masih ada. Boleh main lagi. Alya masuk ke dalam kereta mak dia. Ketika kereta mak Alya bergerak, Alya masih sempat melambai ke arah aku. Tanda sayang la tu.

_________________________________________________________________________________

"Kak Ton, Kak Ton, Alya mana?" Tanya aku ke arah Kak Ton bila usaha mencari Alya gagal bila sampai ke nursery pagi ini.

"Alya? Kenapa dengan dia?" Tanya Kak Ton balik ke arah aku. Aku tenang.

"Yela, mana dia? Saya cari dia tak jumpa pun hari ni?"

"Owh, memang la dia takde nak oii. Semalam tu dia numpang je kat nursery ni. Mak dia tu kawan Kak Ton, semalam dia ada hal. Tu yang numpangkan Alya kat sini."

"HAH!" Aku terkejut. Cinta pertama aku hilang begitu sahaja.

Sehingga kini, aku tak pernah nampak Alya lagi. Orang kata cinta pertama ni susah nak lupa. Mungkin betul.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...